Endometriosis bukan penyakit remeh

Posted on

Endometriosis boleh menyebabkan kesakitan sebelum dan semasa kedatangan haid. Darjah kesakitan ini berbeza-beza di antara individu. Endometriosis yang melampau boleh menyebabkan kemandulan.

“Lapisan dalaman rahim dipengaruhi oleh perubahan hormon wanita bulanan, lazimnya kitaran hormon ini selama 28 hari. Endometrium menebal dan tumbesarannya bertujuan sebagai penyediaan terhadap kehadiran janin.

“Sekiranya persenyawaan tidak berlaku, endometrium menipis dan gugur sebagai darah haid.

“Perubahan secara berkala bulanan ini dirangsang oleh hormon estrogen dan progesteron yang dikeluarkan oleh ovari,’’ kata Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Premitha Damodaran.

Apakah endometriosis ?

Endometriosis ialah gangguan bergantung estrogen yang boleh mengakibatkan morbiditi yang tinggi termasuk sakit pelvis, pembedahan berulang kali dan kemandulan.

“Endometriosis berlaku apabila tisu yang biasanya melapisi bahagian dalam rahim atau dikenali sebagai endometrium tumbuh di luar rahim terutama di sekitar kawasan pelvis , usus dan dalam keadaan yang jarang berlaku di dalam perut atau paru-paru,” ujarnya di program ceramah mengenai endometriosis di Hospital Pantai Kuala Lumpur anjuran MyEndosis pada 19 Mac lalu.

Tambah beliau, punca sebenar penyakit ini sukar ditendtukan. Pakar mempercayai bahawa sel-sel tertentu daripada lapisan rahim mungkin boleh melimpah ke belakang di sepanjang tiub fallopio semasa tempoh.

Sel-sel ini kemudian pekat dan berdarah dengan setiap kitaran haid. Keadaan ini boleh berkembang menjadi tisu parut dan mengikat organ bersama-sama.

Rawatan

Walaupun tiada penawar untuk endometriosis, pelbagai rawatan hormon boleh dilakukan untuk mengawal gejala endometriosis untuk jangka masa pendek. Rawatan mungkin boleh menghilangkan kesakitan dan juga kemandulan tetapi bersama peredaran masa, endometriosis akan kembali semula.

Kaedah perawatan juga bergantung sama ada wanita itu hanya ingin menghilangkan simptomnya atau pun ingin mendapatkan anak.

‘’Untuk menahan kesakitan, ubat yang biasa digunakan terdiri daripada satu golongan ubat yang bercorak bukan steroid tetapi mempunyai keupayaan anti radang dan mengurangkan kesakitan.

‘‘Hormon digunakan untuk mengurangkan kemusnahan yang dikaitkan dengan endometriosis dan boleh membantut pertumbuhan tisu-tisu endometrium. Ini juga mencegah penaupan dan perekatan antara tisu-tisu,’’ kata Dr. Premitha.

Hormon-hormon ini memberhentikan seketika pengeluaran hormon wanita oleh ovari. Hormon-hormon yang biasa digunakan adalah seperti pil perancang keluarga, ubat gonadotropin-releasing hormon (GnRH), progesteron dan danazol.

Kesesuaian ubat-ubat tersebut bercorak individu. Kesan samping hormon-hormon tersebut ketara dan perlu pengawasan intim daripada doktor. Ia tidak membantu menghilangkan kesakitan sedia ada.

“Wanita dengan endometriosis dinasihatkan untuk makan makanan organik, mengekalkan diet yang sihat dan bersenam secara teratur,” jelasnya.

Beliau berkata, pembedahan mungkin dicadangkan untuk membuang tisu-tisu endometrium di kawasan pinggul. Cara pembedahan mungkin secara terbuka ataupun laparoskopi.

“Harus diingatkan, semakin serius endometriosis , semakin cepat datangnya rungutan selepas pembedahan. Lazimnya, rungutan mungkin datang seawal setahun selepas pembedahan.

‘’Sekiranya penyakit endometriosis ini terlalu serius, pembedahan histerektomi (pembedahan rahim) mungkin dicadangkan. Jika kedua-dua ovari dibuang, endometriosis mungkin hilang, begitu juga dengan kesakitan, haid bulanan dan keupayaan untuk mendapatkan anak,’’ terangnya.

Penyakit endo­metriosis merupakan penyakit berjangka masa panjang. Selagi wanita itu tidak putus haid, menopaus, selagi itulah rungutan akan berlangsung.

Walau bagaimanapun, rawatan-rawatan tetap ada, hanya perlu mencari perawatan mengikut kesesuaian individu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *